Sunday, January 15, 2012

Bagaimana menulis iklan produk atau servis anda


Menulis iklan bukan sekadar menyatakan maklumat produk atau perkhidmatan anda dan menunggu pelanggan datang untuk membeli dari anda. Ianya boleh dilihat sebagai satu "seni" atau "teknik psikologi"untuk memujuk pelanggan kepada anda

Berapa kali anda telah menulis iklan dan bagaimana respons yang telah anda terima? Jika anda telah dapat menemui pembeli dalam masa sehari, situasi anda mungkin termasuk dalam salah satu kategori berikut

- produk/servis/perkara yang anda iklankan itu benar-benar menarik atau sedang hangat di pasaran, atau

- lokasi iklan anda benar-benar strategik, atau

- anda sememangnya seorang yang mahir menulis iklan yang menarik minat pembeli

Jika tidak, mari kita lihat beberapa teknik menulis iklan supaya “meliurkan” orang yang membacanya.

Teknik yang dipanggil "AIDA" ini dibahagi kepada empat bahagian penting:
1. Attention (Perhatian)
Berhentikan seseorang dari apa yang sedang dikerjakan untuk membaca atau melihat iklan anda.

2. Interest (minat)
Jadikan dia berminat untuk terus membaca iklan tersebut

3. Desire (Keinginan)
Bangkitkan keinginannya untuk memiliki apa yang iklankan

4. Action (Tindakan)
Pandu dia untuk mengambil tindakan spontan sekarang juga sebelum keinginan yang dibangkitkan tadi pudar dan hilang


Apakah langkah-langkah yang perlu anda ambil:

1. Kenal pasti siapakah pembaca anda dan cara apa dia akan bertemu dengan iklan anda

Anda perlu memilih lokasi yang sesuai untuk mendapatkan ramai yang berminat dengan iklan anda dan penggunaan perkataannya perlu sesuai dengan pembaca yang anda inginkan. Adakah produk/servis anda untuk para remaja lepasan sekolah (contohnya, iklan pekerjaan sambilan), atau mereka yang menghadapi masalah jerawat dll. Lokasi yang anda pilih untuk menyampaikan mesej anda juga perlu. Contohnya jika ianya untuk remaja mungkin anda boleh letakkan iklan atau flyer anda di cybercafe atau kompleks beli-belah. Jika ianya produk jerawat, mungkin anda boleh letak iklan di laman web yang membincangkan masalah yang dihadapi oleh mereka yang berjerawat. Ini memerlukan kreativiti dan ilham spontan anda untuk menjadikan kempen anda berjaya


2. Kenal pasti apakah objektif anda menulis iklan tersebut.

Adakah anda mahu prospek (bakal pelanggan) anda untuk klik iklan anda, atau memberikan maklumat melalui autoresponder, atau membuat panggilan telefon kepada nombor yang anda berikan.


3. Pilih tajuk iklan yang bersesuaian.

Anda perlu bayangkan apa yang perlu untuk membuat prospek anda berhenti dari apa yang sedang dibuatnya untuk memberi masa membaca iklan anda. Ianya perlu ringkas tetapi tepat mengena sasaran prospek anda. Anda boleh gunakan kata-kata yang besar impaknya, tetapi pastikan ianya kena dengan isi iklan anda dan bukan satu penipuan atau janji palsu. Contohnya jika anda menjual ubat jerawat yang sememangnya berkesan menghapuskan jerawat dalam masa 3 hari, and boleh tulis iklan contohnya “JERAWAT HILANG DALAM MASA 3 HARI”, atau apa-apa yang anda rasa boleh menarik perhatian dan belum lagi dapat dicapai dengan produk semasa yang lain.


4. Gunakan bahasa yang ringkas, padat, mudah difaham dan menarik perhatian
Setelah berjaya menarik perhatian prospek anda, sekarang anda telah ada peluang untuk memperkenalkan produk anda dengan matlamat menarik minatnya untuk membaca lebih lanjut. Anda perlu lakukan ini dengan kata-kata yang ringkas dan padat tetapi dapat menyampaikan mesej anda. Anda perlu rasakan pembaca anda ada masa yang singkat untuk membaca iklan anda, tetapi faham kepentingan produk itu untuk dirinya.

Anda boleh senaraikan kelebihan produk anda, dalam bentuk senang difaham dan menangkap tumpuan pembaca. Gunakan perkataan, ayat dan perenggan yang pendek dan tidak berbunga-bunga tetapi jelas tentang produk anda.


5. Timbulkan rasa "saya perlu beli" dalam diri prospek anda
Setelah anda menerangkan kelebihan produk/servis anda, anda perlu membangkitkan keiniginan dalam diri pembaca untuk membeli produk anda. Ini adalah kemuncak kepada matlamat iklan anda. Sekiranya seseorang tahu kelebihan sesuatu produk, tetapi tidak dapat mengaplikasikan kepada dirinya, maka besar kemungkinan dia tidak akan membeli produk itu.

Oleh itu, anda perlu letakkan diri anda sebagai pembeli dan ketahui masalah-masalah yang akan dapat diselesaikan dengan produk itu. Anda perlu manipulasikan masalah-masalah itu untuk menimbulkan persoalan bahawa ianya adalah masalah yang boleh menjadi serius. Berbalik kepada produk jerawat tadi, mungkin prospek anda merasa jerawat bukanlah masalah serius dan rasa selesa dengannya, anda boleh buat kajian tentang kes-kes di mana jerawat menjadi masalah kulit serius jika tidak dicegah dari awal. Jika ada gambar visual lagi bagus, kerana ini akan memberi impak kepada prospek anda bahawa masalah itu ada kena-mengena dengan dirinya dan akan berkeinginan untuk memilik produk anda.

Penyampaian anda yang bersemangat dan penuh minat juga boleh menarik perhatian pembaca anda dengan aura penulisan anda yang tersendiri, bukan sekadar memberikan poin-poin. Berikan fakta yang lebih meyakinkan. Contohnya jika anda menjual produk penjumatan minyak kereta, kenapa perlu tulis “menjimatkan minyak anda” jika anda boleh dapat impak yang lebih dengan menulis “penjimatan minyak sebanyak 50%”, tetapi pastikan fakta itu benar dan bukan janji palsu. Anda boleh menipu seseorang sekali, tetapi selepas itu anda akan melihat kesan kepada penjualan anda di masa hadapan kerana “pisang tidak akan berbuah dua kali”.


6. Dapatkan tindakbalasnya dengan segera

Anda telah tiba di kemuncak apabila prospek anda bersemangat untuk mendapatkan produk anda. Dapatkan tindakbalasnya pada masa itu juga sebelum dia hilang minat dan menukar fikiran. Jangan hanya berikan link ke laman web anda, sebaliknya suruh dia klik ke laman web anda sekarang juga. Fikirkan cara supaya dia mudah bertindak pada masa itu juga tanpa perlu banyak proses yang perlu dilalui.

Memberi promosi untuk masa terhad juga adalah satu cara bagus untuk mendapatkan tindakbalas segera. Contohnya, jika tawaran diskaun 50%, berikan tempoh untuk hari ini atau selagi stok masih ada. Tetapi pastikan anda perlu hentikan tawaran tersebut apabila tamat tempoh seperti yang anda janjikan. Sekiranya anda beritahu tawaran untuk hari ini, tetapi harga masih seperti itu esok atau minggu depan, ia akan “memecahkan tembelang” anda.


Teknik “AIDA” ini adalah sebagai panduan sahaja, kerana adalah bukan perkara mudah untuk mengetahui kehendak pelanggan anda. Kerana itu ada syarikat yang sanggup membelanjakan wang yang banyak semata-mata untuk mengetahui citarasa dan kehendak bakal pelanggan mereka. Satu lagi tip yang bagus untuk anda adalah untuk membuat pelbagai versi untuk iklan anda dan melihat yang mana mendapat respons yang baik. Ini boleh dijadikan panduan untuk iklan-iklan anda di masa hadapan. Selamat Berjaya dengan kempen iklan anda.




No comments:

Post a Comment